Klasik: Kisah Moto 80-an

Assalamualaikum,

Mempersembahkan alkisah sebuah motosikal tahun 80-an yang dimiliki ayandaku (abah). Motosikal yang dimaksudkan adalah moto Honda Cup atau lebih di kenali dengan kod model C70. Pada zaman sekarang pastinya netizen lebih memandang moto berkuasa tinggi dari moto klasik seperti ini. Namun pada pandangan aku, nilai setiap motosikal itu bukan hanya terletak pada wang ringgit, akan tetapi lebih pada erti sentimental dan baktinya. Seperti juga moto C70 ini, ada kisah disebaliknya.

        Sewaktu abah masih bujang, menurut beliau moto ni mencipta lagendanya yang tersendiri apabila pernah dibawanya dari Negeri Sembilan ke Pulau Pinang dengan hanya sekali harung. Pada waktu tu, masih belum ada Lebuhraya North-South Expressway. Jadi kena guna jalan lama yang tidak seberapa cantik, berliku-liku dan berlubang-lubang. Jalannya yang sempit, naik moto dihimpit lagi tersepit. Aku naik moto pergi pekan pun, balik gosok-gosok lenguh punggung. Inikan pula bawa moto selama berjam-jam. Hmm pastinya mencabar urat pinggang dan tulang belakang.

      Mengikut perkiraan, dari Negeri Sembilan nak ke Pulau Pinang. Jaraknya adalah lebih kurang 450 km, dan mengambil masa sekurang-kurangnya 5 jam 30 minit. Ini adalah perkiraan mengikut Google Maps dengan kemudahan lebuhraya. Dengan menggunakan jalan lama pastinya lebih jauh dan mengambil masa yang lama. Disebabkan jarak yang jauh, moto ini terpaksa direhatkan sebelum kembali meneruskan perjalanan. Cabaran waktu dulu, tanpa kemudahan lebuhraya adalah sangat berbeza. Kata abah, orang dulu-dulu kalau perjalanan jauh pasti singgah tidur sebentar. Ada yang berkeluarga siap berkelah di bawah pokok rendang di tepian jalan. Sekarang pengguna lebuhraya ada R&R, boleh singgah rehat, makan, solat, membuang dan bermacam lagi.

       Moto ni masih digunakan beliau setelah tamat zaman bujangnya. Disebabkan masih belum mampu membeli sebuah kereta ketika itu, moto inilah yang dikerah untuk menghantar bonda (mak) ke tempat kerja. Besar pengorbananya, walaupun mungkin agak perlahan roda moto ini berputar. Hanya berbekal tiga gear dengan kelajuan maksimum 70 km/j. Mungkin mudah saja dipintas dek kelajuan kenderaan lain yang lebih gah dan moden sewaktu itu. Tak mengapalah, itu rutin biasa. Moto kecil ini walaupun tidak mahal harganya tetap gagah ke mana-mana sahaja. Biar hujan mahupun terik, moto inilah menjadi peneman setia di atas jalan raya. Betapa banyak jasa moto kecil ini, hanya mak dan abah lebih tahu.

   
Jalan-jalan di kampung bersama abah dengan C70 nya.

Honda Cup C70, telah dicat semula tiga tahun lepas.

Pemandangan sawah di Pekan Darat, diambil sewaktu membonceng C70.
         
         Begitulah sedikit cerita dan kenangan mengenai moto honda C70 ni. Terima kasih kepada pembaca yang sudi membaca. Sekian, semoga bertemu di entri berikutnya.

Assalamualaikum 

Comments

Popular posts from this blog

Unik: Gigi 'Openbite'

You Are Within Shouting Distance